(Ya Allah. Pantaskah aku, di bawah bumbung rumahMu, kusyuk menadah tangan padaMu memohon perlindungan dan rahmatMu buat aku dan seisi keluargaku, sedang tidak sedetikpun aku berdoa (apa tah lagi berusaha) agar Kau cabut derita mereka yang derita!)
Saya banyak bertemu dengan warga asing, samada di negara mereka sendiri atau yang datang mencari hidup atau hiburan di negara ini. Saya pernah menulis berkait dengan seorang pemandu teksi Punjabi di Montreal yang sangat marah kepada saya bila saya berhujah dengan beliau bahawa saya tidak menghormati Dr. Mahathir Mohammed (DMM). Begitu juga dalam tahun 2007, selama dua minggu saya mengharungi jalanan dari Medan ke Palembang, juga cuba mencuit teman saya betapa Dr. Mahathir itu telah gagal dalam perjuangan beliau. Paling awal, suatu ketika dulu di awal 1990an, saya bersama Timbalan Presiden UNICEF (seorang Amerika) melawat sebuah kawasan pedalaman Limbang, dan dia sangat kagum dengan DMM berkait dengan W2020 yang baru beliau lancarkan. Lawatan saya ke Filipina, ke Thailand, Australia, Vietnam, Singapura, dan apa tah lagi ke Papua New Guinea (PNG), banyak mereka yang saya temui mengagumi DMM dalam membawa Malaysia ke persada dunia.
(2) Namun, kenapa DMM menangis dan mengeluarkan dua kalimat: Melayu mudah lupa; Perjuangan yang belum selesai!.
(3) Minggu sudah, saya makan di Gamelan, sebuah restauran Menado dan kebetulan pengusaha restauran itu seperti sudah mengerti makanan kegemaran saya: saban waktu makan, pasti minta lalapan! Kerana tiada tetamu lain, dia duduk bersama saya. Kami bercerita tentang beberapa restauran baru yang sudah mulai berubah wajah dan kian kembang. Sayangnya, biarpun asalnya, restaurant dia adalah usaha anaknya yang berkahwin dengan Cina tempatan, kami seperti saling bertanya: "Sayangnya Pak, ngak ada restauran pribumi yang hebat sebegitu!".
(4) Di antara banyak perkara yang saling diperdebatkan, kami juga sempat bertanya sesama sendiri: "Heran ya, saya udah ke serata Nusantara, ternyata kaum pribumi itu sering saja terlewat membuka mata. Juga kalau sudah membuka mata, pasti langkahnya kaku!"
(5) Hari ini, sedang saya enak menikmati secangkir teh panas, dalam dendangan lagu-lagu nostalgia Broery Marantika dan sebuah Karya Amir Hamzah, saya dikejutkan oleh sepupu saya tentang kedatangan sekumpulan lelaki yang tegap-tegap badan mereka bertandang ke rumah saya: "Siapa?" Saya tanya sepupu saya. "Ngak weroh (tidak kenal)", sahut beliau. Saya agak kaget kerana, biasanya, sepupu saya, yang saya tugaskan menjaga rumah saya di Kampung, biasanya kenal mereka yang mahu berurusan dengan saya.
(6) Bila saya menjenguk muka, ternyata salah seorang di antara mereka adalah teman sekolah saya semasa saya dalam Darjah 1 di tahun 1967 dulu. Beliau punya kecacatan pendengaran dan tercicir dari persekolahan kerana asakan kesempitan hidup. Beliau memperkenalkan empat lelaki lain yang bersama beliau sebagai anak-anaknya. Kesemua mereka sudah hampir 30 tahun melelang (hijrah) ke Kuching dan bekerja di sebuah Kilang papan. Wah sudah punya anak umuran 30an beliau, sedang saya masih terkial-kial dengan anak baru mahu SPM!
(7) Sebenarnya, tiga tahun dahulu, abang beliau mendatangi saya agar membantu membangunkan tanah beliau seluas tujuh ekar yang terbiar di kampung dengan kelapa sawit. Tanah beliau ini telah menjadi sarang penyakit kepada tanah kebunan abangnya. Saya tidak punya keberatan dengan syarat dia perlu juga membujuk seorang lagi yang punya tanah bersebelahan untuk dibangunkan sama. Kebetulan jiran sebelah beliau adalah seorang ibu yang anak-anaknya sudah berselebaran (berselerakan) dan kurang prihatin terhadap kebajikan ibu tua ini. Ibu tua ini juga adalah teman baik nenek saya dahulu. Beliau hidup dalam kepayahan dan terhimpit.
(8) Syukur dengan usaha beliau, saya dapat satukan tanah mereka dan dibangunkan serentak. Hari ini, kebun sawit tersebut sudah berhasil dan boleh mendatangkan pendapatan tidak kurang dari RM2,000-3,000/sebulan.
(9) Usul beliau:" Saya sudah tua. 30 puluh tahun sudah jadi kuli, sehingga kini masih diam di kawasan setinggan. Anak-anak sudah besar semua. Kami seperti terus-terusan akan jadi kuli. Boleh tidak saya ambil balik tanah yang diusahakan dengan sawit itu dan saya mahu kembali ke Kampung".
(10) Terkenang zaman kami masih sama-sama sekolah dahulu. Dengan pakaian beliau yang compang camping. Sering sebelum ke sekolah, kadang-kadang terpaksa bangun awal membantu ayah dan datuknya mengiring kelapa dalam parit (sila baca tulisan saya terdahulu tentang Anak Pekebun Kelapa), sehingga menyebabkan beliau sering lewat ke sekolah dan selalu dimarahi guru. Saya merasakan, kerana ayah, datuk beliau adalah juga teman-teman ayah dan datuk saya, dan selaras dengan pesan Muhammad SAW agar kita bukan hanya perlu menghormati dan menghargai orang tua kita, malah saudara-saudara dan teman-teman orang tua kita, maka saya mengusul kepadanya: "Kamu kerjakan tanah itu. Bersihkan. Baja. Pangkas. Keprluan racun dan baja kan saya biayai. Saya akan ajar kamu semua bagaimana membuatnya. Untuk tempoh satu tahun ini, kamu ambillah buahnya, kamu juallah. Cuma, kamu kena gunakan lori dan orang yang telah saya lantik. Bayar tambang lori saja. Wang selebihnya kamu ambil dan kamu mesti buat rumah segera. Pokoknya, kamu semua kerja kuat dan bersikap jujurlah"
(11) Lebih kurang jam 4.00, saya ke kebun beliau, di mana beliau dan anak-anaknya sedang membersihkan kebunan tersebut. Saya singgah sebentar untuk memberikan sedikit tunjuk ajar dan memberikan sedikit peransang kepada anak-anaknya yang sudah tegap-tegap dan seperti sangat girang melihat kebunan mereka yang sudah berhasil.
(12) Dalam saya memecut pulang ke Kota, kepala saya seperti berserabut dan tiba-tiba terasa pilu. Berserabut mengenangkan nasib bangsa, biarpun mereka sudah bekerja keras hampir mati, belum juga dapat menikmati kemerdekaan (seperti teman persekolahan saya tadi). Pilu, kerana saya terasa sepi, kerana terasa tersendiri dalam langkah-langkah memperbaiki keadaan sebegini. Saya berserabut dan sepi kerana masih rasa terjajah!
(13) Biarpun saya bolak-balik memutar-mutar jeritan Abiet G. Ade, seorang yang pernah gelandangan di Jakarta kerana kesempitan hidup, lalu berteriak sekuatnya tentang hidup, namun kini seperti sudah bosan dan terus diam. Abiet, sering menjadi inspirasi saya bila saya dirundung keperitan! Kini, jiwa saya bukan hanya berserabut dan sepi, kini jiwa saya sudah seperti takut, takut terikutkan Abie G Ade (juga yang lain seperti Pyan Habib, A Samad Said, Latiff Mohiddin, dsb) mernjadi bosan sendirian lalu diam dan diam. Ya Allah, banyak yang sudah saya ketemui, mereka diam lalu berkeputusan lari mengasingkan diri, berkhalwat diri hanya pada Allah. Syukur jika itu sekurang-kurangnya pilihan mereka. Saya takut itupun bukan pilihan saya. Saya takut jika saya hanya diam dan diam! Being indifferent! Go to hell all those! Who care! Why bother!
(14) Namun, Allah itu maha besar. Tetiba timbul dalam benak saya. Saya seperti berfirasat. Saya seperti tersadar. Melayu sekarang, adalah generasi kelahiran Melayu pasca Kemerdekaan. Generasi sekarang, adalah anak-anak dan cucu kita. Mereka bukan lagi anak-anak dan cucu-cucu ibu-bapa kita. Jauh sekali dari anak-anak atau cucu-cucu nenek-datuk kita. Generasi sekarang adalah buah hasil dari mereka yang lahir dalam tahun 1960an. Mereka tidak kenal perit dan payah untuk hidup. Mereka jauh sekali dari tahu kepayahan sebelum merdeka. Mereka tidak kenal sawah. Mereka tidak tahu apa itu lintah dan pacat. Tiada dalam kepala mereka wajah-wajah susah dan payah, apa tah lagi kemelaratan!
(15) Bangsa Melayu kini adalah generasi yang segalanya seperti telah tersedia. Mereka sudah biasa hidup tersedia. Mereka tidak perlu dan tidak pernah diajar untuk berusaha. Jika tidak pandai membuat Homework sekalipun mereka di berikan Tuition! Segalanya tersedia. Hidup mereka, seperti semuanya sudah diatur dan teratur. Inilah kejayaan kita, yang telah berjaya mengatasi perih jerih kehidupan ibu-bapa kita, zaman kemelaratan nenek-datuk kita, hidup yang sudah tidak perlu susah-susah! Anak-anak kita, adalah anak-anak dari ibu-bapa yang sudah berjaya melepasi segala kesusahan dan kepayahan!
(16) Kerana itu, adalah suatu yang salah, tidak munasabah, tidak logik, tidak rasional, kolot, bodoh, dungu, baral, membazir tenaga, membuang masa; jika berharap dan terus berteriak agar bangsa Melayu kini perlu memikirkan tentang untung nasib bangsanya secara kelompok. Melayu kini hanya perlu (mahu) memikir dan berusaha agar secara pribadi mereka punya pekerjaan, rumah, kenderaan, keluarga, kesejahteraan sendiri, dan persetankan kepayahan dan kesusahan mereka yang masih susah. Habis kerja kita celebrate! That is our lives. Our style. Enjoy life babe! Yang itu bukan tugas mereka, menanggung beban sebegitu adalah tanggungan pemerintah!
(17) Wah, apakah betul firasat saya ini? Jika benar, betul, tepat, apakah salah jika saya diam dan diam saja, dan tunggu agar sedikit berumur, maka ke surau atau ke masjid untuk bertemu kawan-kawan lama yang sudah insaf namun sedarnya belum pasti!
(18) MasyaAllah harus ke situkah fikiran saya? Harus diamkah saya? Harus pilu dan sedih sendirikah saya? Kata Zubir Ali: "Tuhanku, aku hilang bentuk, kembara di bumi asing...!"
(19) Sebetul dan sebenarnya, DMM telah berjaya membentuk Melayu baru yang sudah berjaya dan sudah tidak perlu memikir dan berjuang untuk Melayu secara kelompok lagi. Mungkin slogan Musa Hitam sedikit masa dahulu: "Melayu mesti berani bersikap kurang ajar" kian tumbuh kuat. Najib sedang hebat membangun Melayu yang lebih liberal, transformed, dan global. Inilah Melayu yang sedang kita bina, Melayu yang tidak toktok, tidak kolot, tidak conservative, tidak communal! Jika itu benar, saya perlu berusaha keras dan berdoa, untuk membina segelintir Melayu professional dalam sekelumit hidup ini, agar suatu masa nanti, mereka akan sedar: Sesat dihujung jalan, kembali ke pangkal jalan dan Ke mana pulangnya ikan jika tidak ke lubok, dari mana asalnya pinang jika tidak ditampuk dan dari mana asalnya sirih jika tidak di gagang!
Matang Jaya, Kuching
26 Sept., 2010