Latest Postings
Loading...
Sunday, August 16, 2009

5(IV)/08/09 MEMPERKASAKAN MELAYU...daris sudut sosio-budaya


Bangsa Melayu bertebar luas di seluruh nusantara. Dari Selatan Kambodia (Cham), ke Selatan Filipina (Sulu), ke Selatan Thai (Pattani), ke Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu, kepulauan Jawa, Borneo dan segala kepulauan kecil-kecil yang bertebaran di Laut Maluku dan Flores. Jumlah bangsa Melayu mungkin mencecah 350-400 juta orang. Ini bukanlah satu bangsa yang kecil, yang menduduki enam buah jangkauan negara politik, dan merentasi empat zon waktu dunia. Melayu, Jawa, Bugis, Iban, Kedazan, Sulu, Pattani, Cham, dan segala ethnik kecil-kecilan lainnya yang mendiami nusantara, secara antropologinya adalah tergolong sebagai bangsa Melayu. Begitulah hebat dan besarnya bangsa ini. Namun, kenapa bangsa Melayu ini dianggap sebagai tidak sehebat sepatutnya kedudukan mereka? Mereka adalah mungkin bangsa kelas ke II atau III di tanah tumpah darah mereka sendiri?


(2) Sejarah telah membuktikan bahawa bangsa Melayu telah menjadi rebutan pelbagai kuasa dunia. Dari Hindu, kepada Belanda, Spanyol, Portugis, Peranchis, Jerman, Inggeris, Jepun, bahkan Amerika. Melayu Sulu umpamanya adalah bangsa yang paling keras tidak mahu dijajah. Mereka terbukti telah dapat mengalahkan Spanyol dan bahkan Amerika. Kini mereka terus tidak mahu dijajah.

(3) Sejarah juga telah menyaksikan bangsa Melayu adalah bangsa Maritim, pelaut yang hebat. Dalam sejarah Filipina, bukanlah pelaut Spanyol yang mula menemukan kepuluan itu, tetapi the Borneon! Bangsa Melayu telah menjadi pemandu kepada penguasaan penjajah asing dalam penerokaan lautan dan tanah nusantara. Begitu juga, bangsa Melayu jugalah yang telah memandu sehingga ketemunya jalan Timur-Barat melalui Tanjung Harapan. Di Madagaskar, di Afrika Selatan, ada orang Melayu yang telah di larikan dan ditinggalkan di sana sebagai hamba abdi oleh pelaut barat.

(4) Dua kekuatan unggul sejarah bangsa Melayu, sebagai penegak kemerdekaan, sebagai pelaut, adalah dua sifat berani yang perlu kita suburkan kembali. Pepatah Melayu: Pantang ajal sebelum maut dan Menyeluk perkasam biar sampai kepangkal lengan adalah dua contoh falsafah Melayu yang jelas menunjukkan tentang keberanian dan ketegasan mereka bila menghadapi apa juga dugaan, cuma, masih adakah jiwa ini pada generasi kini? Masih adakah semangat: Gengam bara api biar sampai jadi arang masih kental dalam darah Melayu?

(5) Bangsa Melayu juga adalah bangsa yang sangat anjal budaya hidupnya. Pada zaman perkembangan Hindu, mereka terima budaya Hindu. Di zaman perkembangan temaddun orang Arab, mereka resapi sebahagian budaya Arab. Di zaman perkembangan China, mereka turuti sebahagian budaya China. Begitulah bangsa Melayu, terkadang mereka lebih gentleman dari Inggeris, mereka lebih tari dan gaya dari Portugis, Spanyol, Belanda, bahkan lebih American dari Uncle Sam! Para Tok Arabpun banyak mengalah dengan orang Melayu. Mengaji Al Qurannya (biarpun mungkin tak faham maksud), Melayu entah berapa kali tumbangkan Arab! Pakai chop stick, ada Melayu yang lebih perfect dari orang Cina. Begitu juga nyanyian Hindustannya, Melayu kadang-kadang lebih hebat dari segala Tagore dan Rukhan! Maka sosio-budaya Melayu adalah sosio-budaya Majmuk. Sifat Melayu: Lain padang lain belalang, Lain gendang lain tarinya, Di mana bumi dipijak di situ langit dijungjung adalah contoh tentang betapa pegangan hidup Melayu yang sangat anjal.

(6) Sifat ajal budaya Melayu, menyebabkan kita menjadi satu bangsa yang mudah menerima apa saja. Budaya kita menjad budaya yang paling banyak berkompromi. Menjadi sangat halus, sangat lembut, sehingga ada ketikanya kita dengan mudah diperkuda, diperkotak katik, di permainkan orang. Budaya kita yang lembut, seperti memakan diri kita sendiri! Kita cuma tak mauhu berkompromi pasal bersunat dan bersongkok atau berbaju Melayu, lain-lain tak apa!

(7) Hakikatnya bahawa sifat dulu-duluan Melayu yang merupakan bangsa Maritim, menjadikan juga mereka adalah bangsa peneroka dan bangsa pedagang. Orang Melayu, yang suatu ketika dulu kemungkinan datang dari Tanah Besar China, telah menguasai seluruh nusantara. Sifat kembara, sifat Maritim mereka inilah yang menyebabkan mereka dapat mendominasi rantau nusantara. Mereka adalah pedagang hebat sebelum datangnya Portugis, Belanda, dan Spanyol ke nusantara. Mereka menjadi pedagang perantara di antara China dan rantau Arab. Cuma, dimanakah kesilapan kita, sehingga kuasa dominasi kita menjadi begitu mudah tergugat dimuncung senjata Barat? Apatah lagi kini, Melayu menjadi kian tersisih ditangan teman zaman silamnya iaitu bangsa Tionghua? Rata-rata, di mana saja, dominasi ekonomi Melayu, terlepas ke tangan bangsa Tionghua. Di manakah kesilapan kita?

(8) Tidakkah mungkin, kerana budaya kita yang sangat anjal sebagai sebahagian dari sebab ini. Kita dengan mudah menerima apa dan siapa saja atas sebab mudah simpati dan mudah hormat, mudah percaya kita pada bangsa lain? Sikap keras hati kita sudah kian luntur! Kita sudah tidak faham maksud: Kilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya. Kita juga sudah mulai lupa untuk berfikir secara panjang dan dalam, konsep Jauhari juga mengenal manikam sudah jauh kita sisihkan. Hidup kita penuh dengan penyesuaian dan adaptasi, tanps kita sadar, kita sebenarnya kian menjadi mangsa keadaan.

(9) Di manakah dan apakah jati diri budaya Melayu? Jika kita lihat pekataan-perkataan besar yang ada dalam bahasa Melayu seperti: jujur, ikhlas, lembut, halus, bijaksana (wisdom), taat, tekun, tekad, kental, teguh, maufakat, ulet, licik, muslihat, dsb, hakikatnya pasti sifat-sifat inilah yang sememangnya sudah di kenali dan ada di dalam Bangsa Melayu. Jika tidak, pasti kita tidak mempunyai istilah-istilah sedemikian. Saya kira, pembinaan budaya bangsa Melayu yang hebat hendaklah menjurus kepada menghidupkan kembali istilah-istilah hebat ini, dan menjadikan ianya benar-benar wujud dalam amalan hidup setiap individu Melayu. Saya yakin, jika orang Melayu faham dan mengerti apa maksud istilah-istilah hebat dalam budaya mereka, maka dengan itu, sedikit sebanyak akan menyebabkan mereka menghidari istilah-istilah (sifat-sifat) seperti: bodoh, malas, tamak, dengki, kedekut, dsb.

(10) Ayuh kita kumpulkan istilah-istilah yeang mengambarkan sifat-sifat mulia orang Melayu, dan hayatinya, dan patuhinya, pasti kita akan kembali berjaya. Jadikan istilah-istilah ini sebagai jati diri kita. Betapa kita akan punya kedudukan yang dsangat mulia jika bangsa Melayu itu dijelaskan dalam mana-mana kamus atau ensaiklopidia sebagai: The Malays are hard working (rajin), hoonest (jujur), dedicated (beriltizam), loyal (taat), firm (tegas), responsible (amanah).......segala sesuatu yang baik dan sempurna!

(11) Saya amat merasa gembira melihat Datuk Sri Rais Yatim baru-baru ini melancarkan Taman Budaya Malaysia. Saya percaya, atas sifat kreatif dan semangat Minang beliau, dan diharap semua masyarakat Melayu (Malaysia) dapat melihat usaha beliau itu, dijadikan landasan bagi menyemarak kembali semangat 'besarnya bangsa Melayu' terutama dikalangan generasi muda. Kita sekarang ini seperti sudah kian 'mengundur diri' dan merelakan diri ditunggang, di kuda. Janganlah sampai kita sudah ditonggeng baru nak sedar diri!

Bintulu, Sarawak
17 August, 2009

0 comments :

Post a Comment

Back To Top