Latest Postings
Loading...
Saturday, August 15, 2009

5(III)/08/09 MEMPERKASAKAN MELAYU.....dari sudut keagamaan


Nenek moyang kita terdahulu adalah penganut Animisma. Kepercayaan 'keagamaan' mereka tercerna dari jalanan dan pengalaman hidup khusunya yang berkait dengan musibah atau malapetaka yang menimpa hidup mereka. Contohnya, jika terjadi tanah runtuh yang meragutkan nyawa, maka ini akan dibaca sebagai kemarahan sang penunggu, lalu pastinya menimbulkan rasa takut mereka kepada yang ghaib. Langsung kejadian seperti ini akan diikuti dengan pujaan, dan terus kepada upacara-upacara semahan dan atau 'memberi makan' kepada para roh dan sebagainnya. Mentera dan jampi yang tidak kita mengerti apa maksudnya terjelma dan menjadi 'pantang larang' yang entah di mana kebenarannya. Dari zaman ke zaman, rasa takut kepada penunggu, kepada roh-roh ghaib terus merebak dan akhirnya membentuk jiwa Melayu yang sentiasa takut kepada yang tidak dapat diperjelaskan dan dimengertikan oleh akal. Begitu juga halnya jika anak mereka sakit yang melarat-larat, isteri mati ketika bersalin, sakit yang tidak ketahuan dan sasau, gempa bumi, kena terkam buaya, karam di laut, dan sebagainya menambah lagi segala macam-macam kepercayaan sehingga berkembang dan subur menjadi budaya, menjadi 'our way of life'. Malangnya, segala ini menambah khazanah 'pantang larang dan jangan' kita!

(2) Pokoknya, fahaman animisma telah 'menjerat pemikiran asal Melayu' kepada fahaman takut dan tidak merdeka! 'Agama' dan budaya kita adalah asalnya adalah 'agama' dan budaya berdasarkan 'rasa takut', bukan berdasarkan rasa hormat dan kewarasan sebenar akal. 'Agama' dan budaya asal kita telah tidak memerdekakan kita! Pendeknya kita sentiasa di belenggu dengan rasa takut, budaya yang penuh pantang larang! Akhirnya, jiwa kita, fikiran kita, menjadi semakin takut!

(3) Maka atas kesesuaian ciri-ciri 'agama' animisma, yang berwatakan yang ghaib, yang garang-garang, yang mengerikan, dimana 'kekuatan rasa takut' adalah tanda ketaatan, maka bila Hindu berkembang ke rantau ini, yang membawa mitos-mitos ghaib, wajah-wajah ghaib, maka nenek moyang kita dengan segala kerelaan mengangnuti agama baru ini. Penerimaan mereka ini adalah kerana Hindu seperti memberikan kaitan yang 'agak jelas' antara keghaiban dan ketuhanan. Wajah-wajah Sang Garuda, sang segala sang yang garang-garang dan pelik-pelik memperkuatkan ketakutan kita pada "Tuhan'. Lantas patuh kita pada 'Tuhan' adalah kerana kita takutkan dia!

(4) Kerana lamanya pengaruh Hindu (lebih seribu tahun) yang telah menulari kehidupan masyarakat Melayu, maka pelbagai cara hidup Hindu telah meresap hebat ke dalam budaya kita. Ada diantaranya yang baik, ada di antaranya tanpa kita sadari telah merosakkan bangsa kita. Hindu sekurang-kurangnya telah menyemaikan pegangan Melayu kepada adanya Tuhan. Segala sesuatu adalah dari Tuhan. Maka Hindu telah meletakkan asas kepercayaan terhadap Tuhan kepada orang Melayu. Namun, saya kira, atas nafsu hitam sebahagian pendeta Hindu, maka mereka telah banyak membawa kemudhratan kepada Melayu. Dalam hal ini, saya selitkan di sini gambaran ilham saya dalam Novel Bahtera Membelah Samudera Menelusuri Tunjang yang sedang saya olah semula, tentang perkara ini:

"Cukup sudah kita dijajah. Sebelumnya oleh tangan kita sendiri. Bangsa kita sendiri menjajah kita sendiri! Lihat, apa sudah jadi dengan bangsa kita ini. Kerana tidak habis-habis dijajah, kita sudah manut tidak karuan. Taatnya bukan kepalang. Kita merunduk, tunduk, sampai tidak kuasa mahu mengangkat kepala bila berbicara dengan siapa saja sehingga kepada orang-orang besar kita sendiripun. Kita telah dimatikan dengan sifat berkasta yang sangat dalam. Dari sebelum Belanda sampai kini, kita terus-terusan di abdikan dengan budaya runduk, sujud, menyembah, tidak merdeka. Tidak! Aku tidak rela ini berulang lagi. Kita akan seperti celeng nantinya. Mahu angkat kepalapun sudah tidak berani, malu. Manan seperti telah menyalahkan budaya bangsanya sendiri yang mengongkong, tidak punya kemerdekaan berfikir, tiada kemerdekaan membuat ke hadapan. Segala fikiran, pekerjaan, segala sesuatu, semuanya terbuat hanya atas perintah, kata perintah para pembesar yang entah di mana jujurnya. Begitulah, lontaran suara kesal Manan yang kian keras.

Rakyat hanyalah hamba yang perlu ikut saja. Usah bicara! Apa saja lontaran bantah dan kata usul dari rakyat adalah dicurigai, bisa saja dilihat bakal mengugat kekuasaan yang berkuasa. Fikiran dan jiwa kasta, yang ditemuruni dari budaya candi Hindu sudah melekat kuat di tulang, daging, darah, dan kulit bangsa ini. Payah untuk dilepaskan. Begitulah kepanjangan luahan memberontak, memberantak jiwa Manan.

Lihat sajalah, hati Manan terus-terusan membentak, air matanya kian mengalir deras, sederas peluh jantan yang kian menyimbah tubuhnya, kita agungkan para Raja, Permaisuri, Putera dan Puteri, kita dewakan mereka, bagaikan Tuhan. Kita agungkan dan kita sujud kepada mereka. Semua titah perintah mereka adalah kata keramat yang tidak bisa dilangkah. Inilah bayangan budaya candi Hindu yang mahukan kita hanya taat kepada mereka. Mereka jadikan para raja kita alat penguasaan mereka ke atas kemerdekaan fikiran dan jiwa kita. Para dewata ini, begitu bijak, begitu halus, memperguna para pembesar kita, mengangkat para pembesar kita sebesar-besar kemahuan nafsu mereka, lantas mengikat mereka dengan segala puja-puji yang kononnya keramat. Hakikatnya itu semua adalah pancingan agar mereka terus lupa diri, lantaran dada mereka kian membusung, besar kepala atas segala puja-puji, menjadikan mereka lupa tanggungan sebagai payung rakyat jelata, mereka akan jadi manut dibalik kulit kemegahan mereka, menurut segala kehendak para dewata candi-candi itu. Pada para Raja inilah para pendita sembunyikan diri. Raja-raja inilah alat bicara mereka. Dari Raja-raja inilah, keluar segala titah yang kita mesti laksanakan. Biar tanpa upah, biar penuh penghambaan. Dan Raja-raja kita adalah boneka hiasan buat penglipur segala lara dan duka nestapa kita, boneka para pendeta itu. Para Raja, bukan lagi payung, bukan lagi pelindung akan hak dan kemerdekaan kita. Manan meluahkan segala jeritan hatinya, penuh kesal, seperti pidato para siasah yang mahu memberontak menumbangkan feudalisma pemerintah purba.

Lihatlah, Yogyakarta, kononnya Kota lambang kekuasaan Jawa. Di sana, dulunya terbina Borobodhur yang jauh lebih gagah, lebih agung dari Keraton Raja Jawa. Hakikatnya, Yogjakarta, itulah lambang penjajahan Hindu ke atas akal dan fikiran bangsa Jawa kita di sebalik kulitnya agama. Kebesaran Borobodhur, adalah lambang kebesaran penjajahan akal dan jiwa kita di tangan para pendita itu. Segala Raja Jawa dengan mudah sujud di kaki dewata Borobodhur, lantas, anak-anak Jawapun bukan sekadar sujud, malah terus-terusan menjadi hamba kepada nafsu rakus para pendita bagi membina lebih banyak lagi para candi di seluruh Jawa, bukan untuk agama, hanyalah itu bagi kenikmatan para pendita dan mubaligh-mubaligh yang malas dan tiada upaya mahu ke depan atas usaha sendiri. Memperhambakan kita. Itulah pegangan yang mereka mahu para penganutnya hanya mengabdi diri, sembah sujud pada para dewatanya, tidak lain hanya itu, seperti para gondrongan ketagihan candu agar mudah diadu bagai sapi tercucuk hidungnya. Pegangan sebegitu sudah tertanam menjadi candu yang sudah meresap jauh dalam urat darah kita. Candu itu sudah menguasai fikiran dan jiwa para penagihnya, para nenek moyang kita. Menjadikan mereka dan kita hamba dan abdi yang tidak merdeka. Melalaikan para pengikutnya, melupakan segala tanggungan kemanusiaan sebenar mereka. Itulah budaya ikutan anak bangsa kita sehingga kita jadi lalai, kita jadi bangsa suruhan di tanah air sendiri. Itulah mulanya budaya sanjungan tanpa fikiran, itulah budaya manutan tanpa persoalan yang tertanam dalam-dalam dalam tubuh setiap anak bangsa kita Indonesia ini. Syarahan Manan dari anjung rumahnya kini kian panas dan para penduduk Desa Tualang sudah kian ramai berbondong-bondong hadir dan berdiri tegak di laman mengamin akan segala luahan sakit hatinya Manan"


(5) Pada hemat saya, kerana sangat dalam dan sebatinya pengaruh animisma dan Hindu dalam sistem budaya Melayu, biarpun Islam telah hampir 500 tahun meresapi dalam sistem hidup Melayu, namun keberkesanan Islam dalam memerdekakan bangsa Melayu masih belum begitu berjaya. Mungkin, kerana pepatah Melayu yang menghendaki: Seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak terurai (berhamburan), maka biarpun banyak perkara yang sangat bertentangan dengan Islam, namun kerana tidak mahukan 'kecelakaan sosial', maka banyaklah sikap tolak ansur terpaksa diberikan. Sekali lagi saya ingin menyisipkan petikan Novel yang sedang saya karang semula:

"Kini, biar Islam sudah tersebar luas, Islam yang sudah memerdekakan kita dari para dewata dan pendita-pendita candi Hindu, namun belenggu kasta atas jiwa dan budaya kita terlalu ulet untuk terungkai. Kita terus leka dipeluk budaya kasta, enggan merobah, enggan mengerti seruan sebenar Ilahi. Islam kita hanya pada kulitnya, tidak pada isinya. Kulitnya kita ini Islam, namun isinya kita ini masih juga budaya kasta warisan pegangan Hindu. Manan, mulai berkira-kira nakal, yah, mungkin, amalan Islam kita juga telah dicampur baurkan dengan budaya Hindu yang tebal pada diri kita ini. Maka dengan ini, Allah menurunkan musibah penjajahan agar kita sadar. Namun apakah kita akan sadar, dan bersatu, memerdekakan diri, memerdekakan diri sejajarnya tuntutan Allah, hanya berlandaskan wahyuNya, tidak pada budaya dalam Hindu yang berkurun-kurun mengurung kita ini...."

(6)Kehadiran Islam di alam Melayu, telah diterima dalam pelbagai pendekatan. Ada yang bercorak diplomatik, bertolak ansur, banyak berkompromi, dan ada yang lebih agresif. Yang berunsur agresif ini, melihat segala-galanya dari sudut yang sangat berbeza dari kelompok 'kompromi' atau kini disebut 'liberal'. Kumpulan agresif ini, kini mulai dikenali sebagai kaum 'radikal' dan atau 'konservatif'. Pertembungan kedua kumpulan ini, akhirnya telah memecahkan politik Melayu sehingga wujudnya UMNO dan PAS. Pertembungan ini sekali lagi saya cuba ketengahkan dalam novel yang tengah saya olah semula:

"Bapak sudah lama perhatikan. Pak Dolmat terus menyambung bicara tajamnya. Kita di sini, sangat kuat menyelami ilmunya agama. Di setiap kampung pasti ada saja madrasah. Anak-anak kita dididik para kiai agar sentiasa berkupiah dan kerundung putih agar putih fikiran dan hati mereka. Itu bagus buat pribadi moral anak bangsa ini. Kita bangga anak-anak kita sudah pada kumpul memenuhi segala ruang sholat di masjid dan surau-surau. Saban sore, kita kagum mendengar suara lunak puteri-puteri kita mengaji Al Quran. Semua ini telah menjadikan anak-anak bangsa kita menjadi seperti sangat taat akan suruhan Allah dan punya hormat diri yang sangat tinggi. Namun kita juga mesti fikirkan tentang lestarinya hidup ini. Rakyat kita kian biak. Kita perlu punya fikiran jauh dari hanya mengasuh tentang keimanan, kita mesti juga mencari ilmu untuk hidup dan mendokong tugas kita sebagai khalifah Allah di bumi ini. Kita sudah tidak boleh, hanya ikut satu jalan, sedang jalan kehidupan yang lebih luas tidak kita lihat dengan fikiran yang lebih tajam. Kita kejari syurga. Kita kian lupa kehidupan di dunia. Kerana kelalaian satu ini maka kita telah khilaf dalam memperkuatkan diri dengan segala kepintaran mengamankan negara dan memakmurkan rakyat. Maka kita, biar saja kuat hatinya, namun lemah tenaganya. Maka dengan itu, biarpun Islam telah memerdekakan kita, namun Belanda, masih boleh meruntuhkan benteng kedaulatan kita. Hanya kita inginkan syurgawi, sedang kita lupa duniawi, samalah seperti yang kita amalkan di zaman pemerintahan Hindu. Tiada bedanya. Syurga kita hambat, dunia kita lupa sehingga kita jadi lemah, sehingga kita tetap jadi hamba. Kita telah khilaf dan kita terus khilaf. Terlalu khilaf, kita telah bangunkan banyak Madrasah, bertaburan, buat menyatukan iman kita. Namun kesatuan iman itu perlukan kekuatan martabat lahiriah. Biarpun iman kita tinggi, jika kehidupan kita lemah, akan goyah juga iman kita, Muhammad, penghulu agung kita telah berpesan tentang itu. Kita mesti siap mempersenjatakan diri dengan Iman dan kelengkapan hidup. Kita tidak boleh tutupi kesengsaraan dan kesempitan hidup ini hanya dengan iman. Rakyat kita kalah ditangan Belanda, kerana mereka rata-rata masih sengsara dan payah hidupnya. Mereka masih terlalu lemah untuk menghidupkan diri. Juga, yang Satu, telah mengingatkan kita, sebaiknya selepas bermunajat kepadaNya, Dia mahu kita mengejar kehidupan. Tidak pernah Dia mahukan kita hanya bermunajat kepadaNya. Tidak pernah ada riwayat tentang Muhammad hanya menghabiskan seharian di Masjid. Tiada suruhan seperti itu. Muhammad, biar dia manusia pilihan, terus saja dia mencari hidup untuk kehidupannya sendiri. Tidak dia hidup dalam ikhsan sesiapapun. Dia hidup pada tangannya sendiri. Manan, anakku, kita telah khilaf akan langkah amalan Islam kita, kita pegang satu, kita lupa yang satu lagi. Tidak mungkin Tuhan akan melihat kita dengan sepenuh kasih sayangNya selagi kita terus-terusan khilaf begini. Inilah kata-kata hikmah yang selama ini telah terpendam lama dalam dada Pak Dolmat. Semuanya kini tercurah, dicurah pada anak tunggalnya. Pak Dolmat seperti hendak membalas dendam, dendam akan masyarakat kiai yang selama ini memandang serong akan fikirannya. Segalanya kini tercurah bersama linangan air mata yang kian mengalir di mata Pak Dolmat. Ibu Aishah yang mengerti dalam derita jiwa sang suami tertunduk terus dengan air mata yang telah lama bercucuran.

Antara jelas dan tidak. Dalam sebak dan linangan air mata kesal, Pak Dolmat meneruskan bicara sahdu hatinya. Cuba kau lihat, anak-anak lelaki yang keluar dari segala Madrasah, memang hebat imannya, memang hebat pidato imannya. Saban malam pasti mereka jadi jaguh bangsa menuntun sembahyang para khariah, menebar segala ilmu rohaniahnya kepada segala makmuman, saban malamnya begitu, namun di siang harinya, apakah mereka bisa menunjuk teladan hidup yang mencari kehidupan yang lebih sempurna, buat keluarga dan bangsa? Lihatlah beberapa mereka yang ada di desa kita ini, setelah sekian lama, kehidupan keluargannya tetap tidak kuat, masih terus sengsara dan sempit. Anak-anak itu, seperti hanya bisa beramal untuk dirinya sahaja, kurang atau tidak ada kebijaksanaannya untuk membangun bangsa. Juga lihat para puteri yang keluar berkerundung rapat, apa ilmu pengurusan keluarga yang telah mereka pelajari. Tahu mereka hanyalah agar terus taat pada perintah Allah dan suami. Sememangnya itu baik, mulia tetapi taat yang sebagaimana? Hanya taat pada yang rohaniah! Bagaimana kebutuhan lahiriah? Begitulah, Manan, betapa kita telah pincang, tentang pengajaran dan pendidikan anak-anak bangsa kita. Kita tampaknya, sudah terikut-ikut gaya pendeta Hindu dan Buddha dalam menanamkan ilmu batiniah di dalam darah dan daging bangsa kita. Kita telah khilaf besar! Begitulah panjangnya hujah Pak Dolmat, sambil matanya telah bertukar merah menyala, menahan air mata kesal akan kekhilafan bangsanya. Sedang Ibu Aishah, sudah beberapa kali ke dapur mencuci mukanya bagi menghilang air mata yang telah lama mengalir deras mendengar akan segala bicara sang suami kepada anaknya.

Sejak sama berumahtanga, Ibu Aishah sadar, telah banyak kali, Pak Dolmat bertengang urat dengan para Kiai yang mengurus Madrasah di hujung kampungnya. Pada Pak Dolmat, dia mahu, para anak Madrasah bukan hanya belajar mengaji, menghafal Al Quran, bersembahyang, petah berpidato tentang hukum halal dan haram, dia telah berulang kali, mahu agar para Kiai turut mengajar anak-anak itu tentang ilmu untuk hidup. Ilmu bagi membangun masyarakat supaya terlepas dari hidup hari ini hanya untuk hari ini. Pak Dolmat, dengan tegas mahukan anak-anak itu kental imannya, dan kuat ilmu hidupnya. Dia mahu, biarlah anak-anak itu, bersama kekuatan imannya, dengan penuh kesadaran dan keikhlasan, akan tumbuh menjadi wira yang boleh membebaskan bangsa ini dari segala kepayahan dan kesempitan hidup, agar bangsa ini akan terus tinggi nilai kemanusiaannya. Itu mahunya. Namun, saranannya tidak dipedulikan. Malah fikirannya kian dipandang serong.

Ibu Aisah teringat pernah suatu ketika dulu, sewaktu Manan masih berangkangan, keluarga Pak Dolmat pernah disisih masyarakat sekampung hanya kerana dia menantang agar para kiai di Madrasah tidak hanya mengajar mengaji, sembahyang, menghafal Al Quran, berwirid jauh malam. Dia mahu anak-anak yang sedang tumbuh itu diajar ilmu kehidupan. Hanya kerana itu, dia dianggap manusia materialis dan dikatakan kafir!

Manan, tegas Pak Dolmat menyambung lagi, pernah kuceritakan kepadamu akan cerita dari Tanah Melayu di seberang sana, cerita para paman dan teman-teman mereka, betapa Inggeris telah dapat menantang dan mengalahkan Belanda, biar Belanda telah terlebih dahulu keliling dunia, menguasai segala benua. Semua ini, kerana, Inggeris, puak Anglo yang menjadi tunjang bangsanya Inggeris itu, bukan hanya mengamalkan cara hidup kristus mereka, tetapi mereka telah belajar kuat tentang ilmu duniawi, sehingga keduanya digabungkan, menjadikan mereka itu bersatu, bisa menyatukan seluruh Raja-raja Inggeris di bawah payung negara besar dinamakan United Kingdom. Mereka tidak hanya puas di situ, dengan kekuatan duniawi mereka, dengan kesatuan Raja-raja mereka, maka mereka telah dapat mengalahkan bukan hanya Belanda, bahkan Portugis dan Sepanyol. Maka dengan segala tanah taklukan dan jajahan mereka, maka mereka membiak menjadi Great Britain, satu empayer moden, yang setanding dengan segala empayar dulu-dulu yang telah lemah dan punah, lantas menjadi kuasa yang sukar ditandingi bukan saja dari soal kuasa duniawinya, namun mereka juga telah menebar agama Kristus ke serata dada dunia. Nah, coba kau lihat, betapa ilmu duniawi itu amat penting bagi mandirinya pegangan syurgawi kita, sambil menghembus nafas panjang, Pak Dolmat melihat terus ke dalam mata Manan. Dalam hatinya, Pak Domat berbisik, anakku kau dengarlah nasihatku ini, sambil mengembus terus nafas Kursi ke muka Manan"

(7) Saya telah menyentuh tentang 'mengaji'. Begitu juga sedikit masa lalu saya juga telah mengutarakan pandangan Abdulah Munshi mengenai perkara ini. Kita mengaji, pada hemat saya kerana kita mengejar ganjaran pahala membaca Al Quran. Tidakkah mungkin kita juga sudah tersilap faham akan maksud membaca! Juga istilah mengaji, tidakkah mungkin ianya bermaksud mengkaji, memahami, mengerti, lalu mengamali? Dalam lawatan saya ke pusat-pusat pengajian Islam di Kuala Lumpur, kita seperti membina dan meletakkan gedung-gedung ilmu ini hanya kepada kumpulan elit. Rakyat kebanyakan seperti tidak pernah dan tiada usaha gigih bagi mengenengahkan tempat-tempat ini kepada kebanyakan umat Melayu (Islam). Beginilah sifat kita yang sentiasa menyembunyikan ilmu dari pengetahuan umum, sama halnya dalam mengajar ilmu persilatan, biar ianya sangat baik untuk pertahanan bangsa, namun ianya mesti diajar secara terpencil dan sembunyi-sembunyi! Patutkah kita terus-terus begini dalam soal membina bangsa Melayu Islam?

(8) Begitu juga mengenai usaha-usaha pengkajian tentang kehidupan Muhammad, para sahabatnya, dan para penditai-pendita besar Islamlainnya, tumpuan kita (termasuk penulisan) adalah lebih pada sifat keberimanan mereka. Sangat sedikit tulisan dan kupasan mengenai sifat-sifat 'manusia bisasa mereka'. Saya kira, di sini, keadaan ini telah menjadikan mereka ini 'idola kita hanya pada Iman' dan bukan idola dalam jalan kehidupan sebenar dan menyeluruh (adeen). Maka jadilah kita, ikutan (selewengan)agama kita, ke kanan atau ke kiri tanpa ada perimbangan yang mantap.

(9) Pendekatan pendidikan keIslaman kita mungkin perlu direnung kembali. Kaedah pendidikan Islam kita perlu penilaian mendalam. Saya tekankan soal kaedah! Kita sangat banyak menekankan yang berbentuk 'jangan dan tak boleh'. Terlalu sedikit kita bercakap dan menunjukkan yang boleh! Kita juga banyak sangat bersyarah, berpidato! Kita seronok berpidato di TV, pentas, atau di mana-mana. Sampai naik muak kadang kadang kita dibuatnya. Kita berbelanja besar untuk semua ini, namun hasilnya tidak pernah kita nilai secara mendalam. Kita suka, dan terlalu yakin dengan konsep berpidato, namun tidak banyak yang benar-benar terjun menunjukkan teladan bagaimana ianya mesti dilakukan. Contohnya, bukan main hebat para pendidik Islam kita bercakap tentang berniaga, namun berapa ramai diantara mereka yang berniaga? Begitu juga, sangat ramai para pensyarah pedidikan Islam bercakap tentang kesanggupan untuk berkorban membangunkan bangsa, namun berapa ramai, yang sanggup menyising lengan berterik matahari turun ke padang. Pokoknya, Idola Islam kita kini, lebih banyak bercakap dari menunjukkan teladan baiknya! Wajarlah kita renung kembali tentang perkara ini, agar, sisipan cerita novel saya boleh menjadi kebenaran:

"Di Kampung Sungai Burung ini, tampak anak-anak di sini tidak ke madrasah, tetapi ke sekolah-sekolah Melayu, berkemeja putih, bersongkok hitam, tidak berkupiah putih. Cuma yang samanya, mereka tetap berkaki ayam! Manan dan Osman saling berpandangan antara satu sama lain melihat akan semua ini. Mungkin inilah apa yang di ceritakan oleh Pak Dolmat, ayah Manan, tentang kebijaksaan akal orang Melayu Malaya, bisik hati mereka. Ya, orang Melayu mahu anak-anaknya berjiwa putih, sedang otak-fikiran mereka harus hitam. Fikiran hitam, yang mengambarkan tekad mereka untuk hidup secara lebih praktis, otak yang terisi dengan segala ilmu kehidupan, selaras dengan tuntutan dunia. Ya punya fikiran yang praktis, sedang hatinya mesti putih! Inilah pelajaran kebijaksanaan pertama Melayu Malaya yang sedang mereka perhatikan....."

(10) Kembali kita kepada zaman hidup Muhammad saw. Kejayaannya dia, bukan hanya kerana dia mendapat pertunjuk dari Allah, namun kejayaannya Muhammad kerana dia dengan sengaja dikelilingi oleh mereka yang berjaya dalam hidup mereka. Allah dengan sengaja mewujudkan para sahabat yang berjaya dalam bidang masing-masing di keliling Muhammad agar kita pada hari ini, dapat menangkap pengajaran dari keadaan sedemikian. Pada hemat saya, jika kita mahukan para pemimpin kita untuk berjaya dalam memimpin umat Melayu, kita perlu kelilingi mereka dengan orang-orang yang berjaya, orang-orang berjaya yang jujur. Maka, wajar para guru, pendidik, pensyarah keagamaan dan juga diri kita adalah terdiri dari mereka yang benar-benar berjaya dalam hidup dan kehidupan kita, agar kita menjadi idola Islam sebenar yang nyata buat menjadi ikutan umat Melayu kita semua.

(11) Janganlah kita biarkan pemimpin kita dikelilingi oleh mereka yang boleh merosakkan kita. Sadarlah, tidakkah kita pernah terfikir, kenapa Muhammad saw tidak pernah dikelilingi oleh kaum Yahudi dan Majusi? Beliau, sentiasa dikelilingi oleh para sahabat yang tidak lain, hanya ingin berbakti demi yang Satu! Kita mesti ada keberanian untuk mendampingi pemimpin kita dan menyatakan apa saja yang baik buat umat Melayu mengikut cara-cara yang tersendiri! Kita tidak boleh dan jangan sekali-kali takut pada pemimpin kita. Kalau dengan tuhan kita tak takut, kenapa pulak dengan kejadian tuhan kita perlu takut? Juga kita tidak perlu memimpin dengan segala ketakutan. Selagi kita benar, maka kita hendaklah berpegang kepada 'no fear, no favor', kerana kita wajib percaya atas kuasaNya. Tidak pada yang lain. Itulah sumpah syahadah kita!

(12) Kita perlu ingat, Melayu dengan mudah mengikut (meneladani) apa yang mereka dapat lihat! Jadilah idola Melayu yang berkerja kuat secara jujur untuk mereka! Kerana, kita tidak mengikut Muhammad hanya pada kata-katanya, tetapi juga dengan teladan (pribadi dan prilakunya)darinya!

Bintulu, Sarawak
16 August, 2009

0 comments :

Post a Comment

Back To Top