Latest Postings
Loading...
Tuesday, August 11, 2009

5(II)/08/09 MEMPERKASAKAN MELAYU....dari sudut siasah.


(Selagi mentari masih bisa menyinar hangat rohnya, ayuh terus saja darah kita hangat membela bangsa ini. Dalam apa kadar dan tempatnya, di mana saja, bersama hujan menjejaki bumi. Biar Melayu subur hijau dan nyaman!)


Hakikatnya, kemerdekaan politik yang kita kecapi sekarang ini, adalah hasil dari perjuangan perih segelintir dari mereka yang terdahulu. Mereka ini mungkin hanya melibatkan 5% dari keseluruh keturunan nenek moyang kita terdahulu, hanya segelintir dari kaum Melayu. Mereka ini sanggup bermati-matian mahukan kemerdekaan negara ini. Ada yang sanggup mati memberontak dan membunuh penjajah, tanpa sayangkan nyawa dan kebahagian 'sekejap' keluarga mereka. Perjuangan mereka adalah semata-mata untuk memastikan kemerdekaan siasah anak cucu mereka, iaitu generasi kita sekarang ini.

(2) Pada hemat nenek moyang kita dulu, kemerdekaan siasah adalah satu keperluan azali (fundamental need) bagi bangsa Melayu. Penindasan yang pernah mereka alami, dari para penjajah adalah amat perit, dan memalukan bangsa. Dalam era penjajahan bangsa Melayu diinjak bagai sampah, diperlakukan seperti kaldai tunggangan. Nenek moyang kita mahukan generasi terkemudian punya harga diri dan kebebasan mutlak dalam menentukan haluan hidup mereka tanpa belenggu kuasa asing. Inilah niat murni mereka. Inilah khazanah paling mulia peninggalan mereka. Melayu mesti terus Merdeka!

(3)Secara sasiah, kita sudah merdeka dari Kesultanan Brunei, dari Kesultanan Sulu, dari Belanda, dari Portugis, dari Jepun, dari Inggeris! Kita berjaya dan Melayu sangat hebat dalam perjuangan politik. Tidak banyak negara di dunia ini, memdapatkan kemerdekaan tanpa penderitaan panjang, dan atau pertumpahan darah yang maha dahsyat! Kita cukup bangga. Di corong Radio, di dada TV, akhbar, majalah, buku, semuanya bercakap tentang politik. Otak orang Melayu seperti sudah diasak hebat (doctrinated) tentang politik. Tentang kita mesti terus berkuasa. Tentang kita mesti punya kuasa politik yang 'dominance'. Tentang ketuanan politik Melayu. Semua ini seolah-olah mengambarkan Melayu adalah Politik, Politik adalah Melayu. Tanpa politik, tiadalah Melayu, dan tanpa Melayu tiadalah politik. Begitulah agaknya resam kemandirian Melayu.

(4) Maka, politik sudah menjadi sebati dalam hidup kita. Politik adalah darah daging Melayu. Jika kita bercakap tentang apa sekalipun, maka politiklah jadi asas sandaran kepada segala perjuangan dan gerak kerja bangsa kita! Politik, segalanya adalah politik.

(5) Namun, apakah benar bahawa orang Melayu punya kesadaran politik yang tinggi dan mendalam? Atau fahamkah kita tentang makna kesadaran politik yang tinggi dan mendalam?

(6) Hakikatnya, kebanyakan (80-90%) dari bangsa Melayu sekarang ini, sebenarnya tidak mahu mengakui, bahawa sebenarnya mereka hanya mahu berlepas tangan, melepaskan nasib bangsa hanya di tangan segelintir (mungkin 5% atau kurang)dari anak bangsa yang masih sanggup berkerja kuat memerah otak melakukan apa saja untuk bangsanya. Sedang 80-90% bangsa Melayu hanya mahu 'berpeluk tubuh' mengambil sikap sebagai penontot. Segalanya, diletakkan sepenuhnya di bahu segelintir 'pemimpin' yang hanya segelintir sahaja adalah sebenar-benarnya pemimpin.

(7) Kebanyakan dari kita cukup petah bercakap pasal politik, tetapi hakikatnya, kita hanya 'suka bercakap', kita tidak semestinya tahu apa yang kita cakap, dan yang paling parah, kita juga tidak 'bercakap dari dasar hati dan kepala', sebaliknya hanya sekadar di bibir sahaja! Banyak dari kata-kata politik kita sebenarnya adalah kata-kata politik nafsu semata-mata!Politik perut! Itulah hakikat politik kebanyakaan orang Melayu dewasa ini.

(8)Sebahagian dari orang politik pula, tidak kira darjat dan kedudukan mereka, kerana 'hidupku, matiku, kerana politik' maka apa-apa yang didengar, dilihat, dirasakan yang boleh 'menghacurkan masa depan' politik mereka, kedudukan mereka, maka tiadalah mereka akan berani untuk mengorak langkah merombak dan atau mengambil pendirian dan atau langkah yang boleh mencorak kehidupan dan atau pemikiran Melayu supaya jauh ke hadapan. Inilah, apa yang saya katakan, mereka sudah terikut-ikut dengan tututan 80-90% dari sifat orang Melayu yang tak nampak masa depan (ancaman)sebenar terhadap bangsa Melayu! Kita ada terlalu ramai orang politik (pelbagai lapisan) yang sebenarnya tergolong dalam 80-90% hanyalah pengikut, bukan pemimipin, kerana mereka tidak punya hati waja untuk perjuangan masa depan sebenar Melayu! Mereka tidak mahu memerah otak, bersekang mata menganalisa apa yang mereka dengar, lihat, rasa dengan lebih mendalam. Sifat mereka, ambik jalan mudah, 'follow the wind', jangan susah-susah! Tapi lepas itu, besar pulak mulut, tinggi pula dada mereka, bercakap 'agar orang Melayu mesti sentiasa berfikiran secara waras, rasional', sedang, hakikatnya mereka sendiri adalah 'pengecut!'. Inilah politik burung murai amalan sebahagian orang kita, 'cakap bergegar-gegar, tapi ekor sebenarnya bergelumangan najis'.

(9) Pendeknya, kita punya semangat Politik yang tinggi. Pemimpin besar kita punya agenda politik yang tinggi, namun kita tiada 'Operational Plan' yang baik! Politik kita hanya tampak hebat semasa dekat dengan piliharaya. Politik kita adalah politik untuk menang piliharaya. Kita sanggup berbuat apa saja asal saja kita menang piliharaya. Selepas itu, segalanya, entah kemana. Ini terjadi bukan hanya pada sebahagian dari 'pemimpin' parti Kerajaan, bahkan turut terjadi dalam Pembangkang!

(10)Itulah sebenarnya kelemahan politik Melayu. Hendak menang piliharaya, lepas itu, tergagau-gagau tak tahu nak buat apa, tiada perancangan teliti, tiada 'followup', tiada kekuatan 'to move beyond election' bagi kepentingan umum Melayu. Politik kita adalah dan hanyalah "Politik Piliharaya". Seperti Pak Kadok..."Menang Sorak, Kampung Tergadai".

(11) Selepas piliharaya, mereka yang menang, tidak tahu apa nak dibuat. Sudut pandang mereka hanyalah politik. Pada mereka, hanya politik saja yang dapat membangun dan mengekalkan kemerdekaan Melayu. Mereka tidak nampak, bagaimana 'segala tangan, segala kaki, segala kepala, segala hati, segala jantung' yang di luar politik sebenarnya boleh dan mesti digarap demi kesinambungan kemerdekaan Melayu. Sifat curiga, sifat sombong diri, sifat bodoh-sombong, sifat 'inferiority dan superiority complex' kian menguasai sebahagian dari mereka yang 'dipilih jadi pemimpin Melayu'. Mereka yang terplilih untuk menjadi pemimpin Melayu, tidak punya kesatuan, sudah banyak bawa sifat sendiri-sendiri! Ada juag syok sendiri!

(12) Inilah masalah politik kita, politik hanya untuk piliharaya, politik, kita terpaksa memilih 'pemimpin' yang hakikatnya 'tak tahu memimpin ummah, melainkan untuk diri sendiri'. Cara kita berpilih (election), berpilih yang tidak berlandaskan kemerdekaan fikiran telah menyebabkan kita 'terjajah di tangan sendiri'.

(13) Kita sudah terjajah oleh sikap, fikiran, perasaan kita yang sudah tidak merdeka! Kita telah dijajah oleh kita sendiri. Maka yang lainnya, hanya menangguk di air keruh untuk mengalahkan kita! Pasti juga sedang sperti musang berbulu ayam, hidup menghacurkan bangsa Melayu tanpa kita sadari (dengan cepat)!

(14) Kepala dan dada kita mesti terus merdeka, setiap kepala dan dada manusia Melayu mesti terus merdeka, jika Melayu ingin terus merdeka. Kita, mesti jadi manusia yang punya akal yang panjang, dan keberanian yang kental.

(15) Kempipinan Melayu, tidak dan jangan hanya dilihat dari sudut politik. Politik hanya satu dari faktor kekuatan dan kemerdekaan Melayu. Politik bukan segala-galanya. Dan politik tidak boleh hanya di biarkan ditangan segelintir mereka yang mahu berpoltik. Setiap individu Melayu mesti ada kemerdekaan politik tersendiri. Kita tegakkan kembali kemerdekaan individu, kita kuatkuasakan kemerdekaan pribadi kita. Kita mesti sanggup dan berani hanya memilih mereka yang benar-benar bekerja untuk Melayu sebagai pemimpin politik Melayu yang benar-benar jujur dan berani. Kita mesti tahu, mana permata, mana kaca! Kita kena bijak mengenali mana musang, mana ayam! Kita mesti tahu mana-mana pagar yang akan memakan padi, membawa rebah!

(16) Apa saja yang menyekat kemerekaan fikiran dan tindakan kita hendaklah kita elak atau singkirkan. Segala kemelut, segala kedudukan, segala kekayaan, segala kepentingan, segala sesuatu yang mengikat kemerdekaan fikiran dan tindakan kita mestilah kita elak, singkir, dan atau hapuskan. Kekuatan kita hendalah hanya berlandaskan ilmu dan keImanan. Inilah jalan kemerdekaan diri kita.

(17) Melayu bukanlah bangsa yang bodoh! Melayu bukanlah bangsa yang pengecut! Kita bukan bangsa meminta-minta! Kita punya sejarah tersendiri, sejarah kejayaan yang hebat. Cuma kita telah khilaf. Kita telah lalai. Janganlah kita terus-terusan lalai dan khilaf. Kembalikan kebijaksanaan dan kewarasan (wisdom) kita. Merdekakan diri kita! Pasti kita akan terus merdeka! InsyaAllah.

Nota:
Sila perhatikan, saya gunakan perkataan KEMERDEKAAN (Independent), bukan BEBAS (Freedom). Dua perkataan yang hampir serupa tapi tidak sama makna dan kesannya. Bukan kebebasan yang kita mesti kejar dan pertahankan, tetapi Kemerdekaan!

Kuching, Sarawak
15 August, 2009

0 comments :

Post a Comment

Back To Top