April 10, 2025
Thursday, October 25, 2012

8/10/12 PRU13, NAJIB TIDAK PERLU BURU-BURU.

Secara kasar, banyak yang menduga bahawa Najib agak lebih selesa dewasa ini. Rakyat dikatakan sudah mulai memberikan keyakinan kepada cara pentadbiran beliau. Zetty Aziz sekali sekala akan muncul mengumumkan unjuran Pertumbuhan Ekonomi Negara sekitar 5.0 peratus. Mustapha Muhammed pula akan muncul dengan data-data mengenai kemasukan pelaburan asing, FDI. RTM pula berusaha keras menjelaskan kepada rakyat akan pengertian dan faedah Belanjawan 2013, khususnya yang berkait dengan kalangan pengusaha kecil dan kaum Hawa. Semua ini, menjurus kepada usaha untuk meyakinkan rakyat betapa peluang-peluang pekerjaan baru akan berkembang, serta kemungkinan-kemungkinan bagi peningkatan pendapatan rakyat.

(2) Namun pengamatan ringkas saya, rasanya rakyat peringkat menengah dan atas, masih kurang teruja dengan Belanjawan 2013. Pemain utama dalam segala bidang perniagaan masih agak samar tentang peluang-peluang baru atau pengembanagn perniagaan yang sedia ada. Biarpun, banyak subsidi atau ganjaran-ganjaran diberikan kepada rakyat, namun semua itu bersifat bermusim dan tidak berkekalan. Akibatnya, unjuran permintaan pasaran dalam negeri (berupa barangan dan perkhidmatan) akan menjadi agak liat. Saya yakin, semuanya bertitik tolak pada Imbangan Dalaman Belanjawandi mana Belanja Mengurus jauh mengatasi Belanja Pembangunan. Sememangnya, sekali imbas, dengan nisbah Belanja Mengurus: Belanja Pembangunan dalam kadar 4:1 adalah sangat merunsingkan. Perangkaan sebegitu, rasanya, jelas menampakkan betapa belanja mengurus kita adalah sangat tinggi dan ini boleh mengambarkan jurang ketidak cekapan yang amat jelas. Biarpun dari sudut luaran, di mana Imbangan Luaran Belanjawan telah dapat mengekang hutang luar Negara, namun kelemahan dalam mengurus Imbangan Dalamanan Belanjawan lambat laun akan menyebabkan pengucupasn keupayaan Negara dalam membiayai hutang luar di masa-masa mendatang.

(3) Banyak pihak agak binggung melihat kemurahan Najib dalam memperuntukan sejumlah besar wang bagi meringankan bebanan rakyat, biar dalam bentuk apa namanya sekalipun. Juga banyak pihak bertanya-tanya, apakah Malaysia mampu untuk mengadakan wang yang sebegitu banyak, sedang Simpanan Wang Negara tidakpun mengambarkan keadaan benar-benar sihat. Dalam soal ini, mengurus ekonomi Negara, tidaklah sama dengan mengurus kedai runcit di kampung. Di kampung, kalau ada duit barulah pembelian bahan jualan dilakukan. Dalam soal pengurusan Negara, ianya adalah suatu seni ketajaman bermain dengan hukum-hukum ekonomi. Saya berkira Najib pasti sedang mengunjur keadaan ekonomi serantau dan dunia yang lebih baik, maka apa yang dilakukannya dalam merumuskan Belanjawan 2013 beliau, saya mengagak melalukukan apa yang saya namakan sebagai mempertaruhkan laba masa depan. Saya yakin sebegitulah sikap atau prilaku para penasihat ekonomi dan kewangan Najib.

(4) Banyak mungkin tidak berapa mengerti tentang apa yang saya maksudkan itu. Ianya sebenarnya sama dengan seseorang yang berbelanja lebih dari pendapatan semasa sebenar, kerana menjangka akan ada kemasukan wang dalam sedikit masa lagi. Para pemegang Kad Kredit, sikap mereka sebegitulah. Dan dalam dunia, perniagaan, berbelanja lebih adalah kemestian kerana ianya adalah sebuah pelaburan. PETRONAS umpamanya, tidak akan menjadi gergasi sebagaimana ianya sekarang ini, tanpa sikap berani Pengerusinya untuk terus melabur dan berbelanja lebih sejak sekian lama terdahulu. Cuma mungkin bedanya, apakah permainan pertaruhan Najib, berbanding dengan PETRONAS, atau Peruncit Kampung atau Pemegang Kad Kredit.

(5) Saya yakin, pertaruhan Najib yang paling utama adalah untuk memenangi hati rakyat. Najib memerlukan kemenangan besar dalam PRU13 mendatang. Jika boleh, dia mahukan udian sekitar 70-80 peratus, dan paling perlu untuk menawan semula Selangor dan Pulau Pinang, dua buah negeri terkaya di Malaysia. Saya mengagak, Najib punya keyakinan jika dia mampu meraih 70-80 peratus undian dalam PRU13 mendatang, maka dia akan mampu untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada melonjakkan lagi pembangunan Negara setidak-tidaknya sehingga 2018. Jika ini dapat dicapai, segala kelemahan di dalam Belanjawan 2013 akan dia perbaiki pada Belanjawan 2014. Najib, mempertaruhkan pegurusan kewangan Negara 2013 atas keyakinan untuk menang besar dalam PRU13. Mudah-mudahan, niat dan iktikad Najib terus sebegitu. Saya yakin, dan kita semua harus berdoa, dan mengawasinya, sebagaimana yang sering bibir dan kepalan tangannya tunjukkan betapa dia akan menunaikan segala janjinya. Mudah-mudahan.

(6) Soal dia akan terus jujur atau tidak, tiada siapa yang tahu melainkan dirinya dan Allah. Namun, mengambil kias dari kata-kata Mahathir Mohammed, yang lebih kurang berbunyi: Saya kagum dengan Tun Abdul Razak, dia sangat berwibawa dan bertanggungjawap, maka saya memilih Najib sebab saya berasa dia akan mengikuti jejak luhur bapanya. Kita rakyat Malaysia juga harus mempertaruhkan untung nasib kita kepada Najib. Pertaruhan kita adalah kerana dia anak Tun Abdul Razak sesorang yang sifatnya sangat jujur kepada rakyat. Juga kita berharap dengan masih adanya Toh Puan Rahah, isterinya Tun Abdul Razak, ibunya Najib, beliau akan dapat terus memberikan nasihat sebagai seorang ibu dari isteri seorang yang sangat jujur kepada rakyat. Juga, mudah-mudahan Allah terus memanjangkan usia dan memberikan daya fikir yang terus tajam kepada Mahathir Mohammed, mentor Najib untuk menegur, dan jika perlu mungkin menurunkan Najib jika dia mulai bermain kayu tiga.

(7) Sikap kita rakyat Malaysia harus jelas. Kita tidak mahu para pemain wayang dalam kumpulan Najib. Wakil-wakil sediada yang terlalu banyak menimbulkan masalah, harus diketepikan. Soal mereka bersalah atau tidak itu soal lain, soalnya ialah apakah mereka mampu menumpu kepada untung nasib Negara saat diri mereka sendiri terus bergelumang dengan masalah. Begitu juga, para wakil yang kini, sifat mereka tidak lain hanya ingin bertikam lidah, membingitkan Dewan, bagai Pak Lawak Gendut, dan meminggirkan soal mengutarakan dan membahas dasar, strategi dan rencana dalam memacu pembangunan Negara dan kesejahteraan rakyat. Mereka yang terlalu liat untuk turun padang juga harsu terus disinggirkan tanpa ragu-ragu. Najib juga harus peka dengan para wakil sekarang ini yang tidak boleh bekerjasama sesama sendiri, di kalangan penjawat awam, apa lagi dengan masyarakat. Sesungguhnya banyak mereka yang sebegini.

(8) Najib memerlukan sedikit masa untuk mencari calun-calun yang baik. Saya berkira dia juga akhirnya memerlukan mereka yang berwibawa untuk membentuk Pasukan Kerjanya saat usai PRU13. Cuma, rakyat harus juga membantu, jangan hnaya meminta calun yang dikenali sedang mereka mungkin akhirnya adalah tinag-tiang lampu dipinggir jalan buat menyangkut segala macam iklan tetapi tidak berlampu. Najib juga tidak harus khuatir, jika dia punya lima ke sepuloh orang Menteri yang boleh bekerja, dia pasti akan mampu mengorak langkah pantas. Lantik saja mereka yang di luar UMNO atau BN jadi Menteri. Tidak salah membawa walaupun Pembangkang yang berwibawa dan berjiwa membina negara ke dalam Kabinet, apa lagi masyarakat awam dan sawsta yang tekun, bijak, jujur dan ikhlas dalam kerja mereka.

Kuching, Sarawak, Malaysia
25 Oct., 2012

1 comments :

  1. I am really satisfied with this posting that you have given us. This is really a stupendous work done by you. Thank you and looking for more posts

    ReplyDelete

Back To Top