Latest Postings
Loading...
Wednesday, May 6, 2009

6/5/09 BAGAIMANA ALI mendapat tongkatnya dan Fatimah mendapat kacipnya.....



Lebih kurang 8-9 tahun dahulu, saya ke sebuah perkampungan Kedayan, bernama Nyalau (meliputi tiga buah kampung ie Kuala, Tengah dan Ulu Nyalau), Bintulu. Orang Kedayan, dulu-dulunya di katakan banyak ilmu. Pernah di ceritakan bahawa datuk (Melayu Riau) saya pernah muntah darah sekembalinya dari melawat ke kampung Kedayan, gara-gara kerana salah faham dan tidak mengerti budaya masing-masing. Begitulah hebatnya orang Kedayan. Kisahnya, datuk saya semasa makan bersama keluarga Kedayan, dia membalikkan ikan bila sebahagian darinya sudah habis. Konon nak tunjuk hormat pada tuan rumah, tanpa tahu itu adalah pantang nelayan dan keluarga Kedayan!

Di Nyalau ada keistimewaan tersendiri, iaitu masyarakat lama di sini, tahu akan kegunaan pelbagai jenis akar hutan. Mereka boleh membuat ramuan yang boleh mengubat pelbagai penyakit. Paling istimewa, penduduk Nyalau Kuala khasnya, membarisi jalan kampung mereka dengan tanaman Tongkat Ali (Eurycoma longifolia).


(2) Bila sudah agak mesra, dalam salah satu dari lawatan susulan saya, maka saya mentelah masyarakat Kedayan ini. Jika kamu, banyak ilmu, cuba ceritakan kenapa pokok ini di namakan Tongkat Ali. Maka banyaklah agakan dan gurauan yang dikemukakan, tetapi saya tertarik dengan salah satu lawak mereka, dari Hj. Saban (nama beliau). Begini, mungkin tuan, dalam pelat pekat Kedayannya, saya fikir, itu Sayidina Ali, dia terlalu kuat, bila berperang, mungkin dia tak pakai pedang, tetapi kerana dia sangat hebat, dia pukul saja musuhnya pakai kayu, sampai patah-patah bertebangan kayu-kayu itu! Ya, sambung saya, memang kuat sungguh dia, sampai potongan kayu itu terbang sampai ke Nyalau lalu tumbuh jadi Tongkat Ali. Sambil ketawa, tuan memang padai, kalau lama di Nyalau, habis ilmu orang Kedayan tuan ambil!

(3) Maka setelah itu saya pun berfikir sendirian, Tonkat Ali, Eurycoma longifolia, sejenis herba, yang berbuah berbentuk berries, daun bujur yang liat biar digintil macamana sekalipun tidak akan pecah atau hancur, batang yang boleh menjangkau sehingga 5 meter, dan akar yang tersangatlah pahit rasanya, kenapa ianya di namakan Tongkat Ali. Adakah cerita Hj Saban itu benar? Kemungkinan juga benar, sama seperti ikan sebelah, yang disebut ikan sisa makanan Nabi Sulaiman, tinggal sebelah dan bila beliau lepaskan ke laut ianya terus hidup macam ikan biasa.

(4) Sayidina Ali, memang terkenal kekuatnya. Pedangnya saja, sampai dua orang mengangkatnya baru dapat. Bila berperang, dialah laksamana dan perwira yang maha handal. Orang-orang Melayu, kerana taat dan halus amalan Islamnya, inginkan segalanya ada unsur keIslaman. Maka saya kira, kerana ramuan Tongkat Ali ini ada kaitan dengan kekuatan tenaga batin, maka untuk melaris dan sebagai branding yang paling mustajab, elok di namakan Tongkat Ali. Tongkat, kena kuat, kalau tak kuat mana boleh di panggil tongkat. Kalau sudah kuat, maka menongkatlah. Dan kekuatan menongkat itu, perlulah kekuatan yang maha hebat, maka Ali lah sebaik-baiknya benchmark kekuatan tersebut. Jadi saya kira, begitulah salah silah timbulnya nama Tongkat Ali. Namun sayang, saya rasa, segala jenis bahan dan ciri-ciri kimia Tongkat Ali sudah dipatternkan oleh USA, bukan oleh orang Kedayan Nyalau. Kita terlambat lagi, mungkin dok leka menikmati kekuatan tongkat ali, kita terlupa benda-benda lain yang sangat perlu!

(5) Orang Melayu, ibarat perumpamaan orang Sunda, biar terkurung di atas, tersepit di tengah, terkandang di bawah, pasti ada saja akalnya. Bisa saja dia terlepas. Maka, kalau sudah ada Tongkat Ali, pasti ada lawannya, selaras dengan ajaran Al Quran : Di antara kamu, telah kujadikan berpasang-pasangan, maka dicarikan oleh mungkin juga Kedayan Nyalau, apakah pasangan atau lawan Tongkat Ali. Ya, bukankah Sayidina Fatimah Alzahrah (kalau tak silap) adalah isterinya Ali. Hanya Fatimah sajalah yang boleh menundukkan atau mengamankan Ali. Tongkat, biar sekuat mana sekalipun jika dikacip hari-hari pasti putus juga, pasti lemah juga. Maka terumuslah antidot Tangkat Ali iaitu Kacip Fatimah. Hebat orang Melayu. Saya belum pernah meneliti akan rumput (kenapa rumput?) Kacip Fatimah!

(6) Prof Aziz Bidin, Botanist di UKM sangat bangga dengan penemuannya di sebuah Kampung di Kelantan (kalau tak silap), bahawa purata jumlah anak sesebuah keluarga di situ adalah 7 orang. Ianya adalah sebuah perkampungan terpencil, miskin, sedang anak-anak di sini sangat ramai. Dia menyelidik pemakanan penduduk di sini, dan dia diketemukan dengan pakis Tunjuk Langit. Mereka banyak makan pakis ini. Sorus pakis ini, sentiasa menunjuk ke langit, yalah sama tarafnya dengan Tongkat Ali, dok menongkat selalu!

(Kuching 6 May, 2009)

1 comments :

  1. Nyalau... A place to remember... debur ombak... Rumah kayu...Rusa berlari... Tenang ...hati terpaut rindu... Bayu nan berhembus...Menyelinap masuk ke hati mereka di kampung-kampung Nelayan... Pemuda-pemudi yang kuat semangat... Mencari Rusa...untuk dagangan.. Mencari senek untuk "Belacan"....Rasa rindu bertaut untuk bertemu ... mereka yang dekat di hatiku...Sekurang-kurangnya..kita bertemu kerana.. satu...janji rezeki dan janji pembangunan untuk Kedayan Nyalau...

    ReplyDelete

Back To Top